Berakhirnya 2009

Sedar tak sedar 2009 sampai ke penghujungnya. Esok, tahun baru bakal bermula. Seperti biasa ramai yang merenung kembali azam yang dibuat awal tahun 2009 dan memikirkan azam baru 2010. Tercapai atau tidak, semuanya bergantung pada usaha yang dilakukan untuk mencapai azam itu. Tapi yang penting sekali kita tiada kuasa melawan takdir Allah s.w.t. Jadi tiada gunanya kita terlalu kesal atau terkilan sekiranya gagal mencapai apa yang dikehendaki. setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.

Bagi diriku, aku tidak menetapkan apa-apa matlamat atau azam. Memandangkan hidup ini sukar diduga, aku akan mengikut rentak dan apa yang telah ditakdirkan untukku. Namun yang penting sekali, niatku cuma satu. Aku mahu membahagiakan semua insan yang aku sayangi. Mak, bapak, adik, kakak, abang, anak sedaraku satu satunya, suami juga anak-anak. Itu yang membuatkan aku gembira dan berasa puas setiap hari.

Apa-apapun, ramai yang berpendapat menetapkan azam dan matlamat atau 'goal setting' adalah amat penting untuk menyusun langkah seterusnya. Aku tidak menyalahkan pendapat itu, kerana ramai manusia yang berjaya kerana telah menetapkan matlamat dari sejak mula. Tapi ada juga manusia yang berjaya tanpa menetapkan apa-apa matlamat. Mereka bijak berubah mengikut keadaan atau boleh dikatakan fleksibel. Namun mereka tetap mempunyai satu pegangan hidup. Sebagai contahnya, pegangan hidupku adalah untuk memberikan kebahagiaan dan kegembiraan kepada orang yang aku sayangi.

2009 merupakan tahun yang amat sukar bagiku. Terlalu banyak kenangan pahit, jerih payah dan air mata. Namun itu semua mengajar aku erti hidup sebagai pedoman di masa hadapan. Semoga tahun 2010 memberikan sinar harapan dan kebahagiaan. Dan semoga apa yang aku citakan bisa tercapai. Insyallah....

0 comments:

Post a Comment